Isu kebankrapan dalam kalangan golongan muda semakin membimbangkan. Berdasarkan data Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI), 2,776 kes kebankrapan akibat pinjaman peribadi direkodkan sepanjang tahun lalu, meningkat daripada 2,225 kes pada 2023. Majoriti adalah individu berusia antara 25 hingga 44 tahun.

Ia menunjukkan betapa kritikal isu pengurusan kewangan dalam kalangan pekerja muda yang sering terjerumus dalam perangkap hutang akibat kurang literasi kewangan.

Golongan muda sering tertarik dengan gaya hidup mewah yang dipaparkan di media sosial sehingga mengabaikan keperluan untuk mengurus kewangan secara bijak. Mereka cenderung membuat pinjaman peribadi tanpa perancangan kukuh sehingga gagal membayar balik dan akhirnya diisytihar muflis. Ini membuktikan bahawa kurang pengetahuan mengenai kewangan peribadi boleh membawa akibat buruk kepada individu dan negara.

Kebankrapan dalam kalangan pekerja muda perlu ditangani segera bagi mengelakkan kesan jangka panjang terhadap ekonomi dan kesejahteraan sosial.

Antara faktor utama menyumbang kepada masalah ini adalah kelemahan dalam pengurusan kewangan peribadi, terutama apabila seseorang baru memasuki alam pekerjaan. Pekerja muda yang baru menerima gaji cenderung berbelanja secara berlebihan, tanpa mempertimbangkan keperluan jangka panjang seperti simpanan dan pelaburan. Ketiadaan tabiat menabung dan perancangan kewangan yang lemah menyebabkan mereka mudah terjerat dalam masalah hutang.

Antara faktor utama yang menyumbang kepada kebankrapan dalam kalangan pekerja muda adalah kelemahan dalam pengurusan kewangan. Ramai antara mereka tidak mempunyai perancangan kewangan yang jelas sebaik sahaja menerima gaji pertama. Kesilapan yang sering berlaku adalah membelanjakan wang tanpa had dan tidak mempunyai simpanan kecemasan. Sebagai contoh, ada individu yang berpendapatan sederhana, tetapi memilih memiliki kenderaan mewah dengan bayaran ansuran tinggi. Mereka juga sering membuat pinjaman peribadi untuk memenuhi kehendak gaya hidup yang tidak sejajar dengan kemampuan sebenar mereka.

Selain itu, penggunaan kad kredit tidak terkawal turut menjadi punca utama kebankrapan dalam kalangan pekerja muda. Ramai pekerja muda memiliki kad kredit walaupun tidak mempunyai kestabilan kewangan kukuh. Kad kredit sering digunakan untuk perbelanjaan yang tidak perlu seperti membeli barangan berjenama, percutian mewah dan aktiviti hiburan yang berlebihan. Tanpa kawalan perbelanjaan yang baik, hutang kad kredit boleh meningkat dengan cepat menyebabkan mereka gagal melunaskan pembayaran minimum setiap bulan. Keadaan ini akhirnya membawa kepada tindakan perundangan dan seterusnya pengisytiharan muflis.

Gaya hidup mewah yang menjadi trend dalam kalangan pekerja muda juga menjadi faktor penyumbang kepada masalah kebankrapan. Budaya ‘hedonisme’ dan tekanan sosial menyebabkan ramai yang berlumba-lumba untuk menunjukkan status kewangan mereka melalui media sosial. Mereka ingin tampil bergaya dengan pakaian mahal, makan di restoran eksklusif dan melancong ke luar negara walaupun mereka tidak mampu. Pengaruh rakan sebaya dan media sosial mempunyai pengaruh besar untuk mereka berbelanja secara berlebihan tanpa memikirkan kesan jangka panjang kewangan mereka.

Tambahan pula, kurang pendidikan literasi kewangan dalam kalangan pekerja muda turut mempercepatkan risiko kebankrapan. Kajian Bank Negara Malaysia mendapati bahawa tahap literasi kewangan rakyat Malaysia masih rendah, terutama dalam aspek perancangan kewangan, pelaburan dan pengurusan hutang. Ramai yang tidak memahami konsep asas seperti kepentingan menyimpan, melabur dan merancang bajet bulanan. Keadaan ini menyebabkan mereka terperangkap dalam kitaran hutang tanpa mengetahui cara untuk keluar daripadanya.

Isu gaji tidak setimpal dengan kos sara hidup yang semakin meningkat juga menjadi punca utama pekerja muda mengalami masalah kewangan yang serius. Dengan harga rumah, makanan dan perkhidmatan asas yang tinggi, ramai pekerja muda bergelut untuk memenuhi keperluan harian mereka.

Situasi ini lebih buruk bagi mereka yang mempunyai komitmen kewangan yang tinggi seperti bayaran pinjaman pendidikan dan ansuran kenderaan. Apabila perbelanjaan melebihi pendapatan, mereka terpaksa mencari jalan pintas seperti membuat pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit untuk menampung keperluan harian, yang akhirnya membawa kepada kebankrapan.

Langkah penyelesaian

Langkah pencegahan perlu diambil bagi memastikan pekerja muda tidak terus terjerumus dalam masalah kewangan yang serius. Salah satu pendekatan yang boleh dilaksanakan adalah memperkenalkan pendidikan literasi kewangan di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi. Mata pelajaran berkaitan pengurusan kewangan peribadi boleh diajar secara formal bagi membekalkan pelajar dengan pengetahuan yang mencukupi sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan. Dengan adanya kesedaran awal, mereka akan lebih berhati-hati dalam menguruskan kewangan dan mengelakkan daripada membuat keputusan kewangan tidak bijak.

Selain itu, kerajaan dan institusi kewangan perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memberi kesedaran kepada pekerja muda mengenai bahaya hutang berlebihan. Kempen kesedaran dan program bimbingan kewangan perlu diperluaskan supaya lebih ramai golongan muda mendapat pendedahan kepentingan pengurusan kewangan yang baik.

Penulis Pensyarah dan Penyelidik KananPengurusan Teknologi Pengeluaran,Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Sumber : Harian Metro

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *